khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Sunday, 6 November 2011

kesum -sumber seorang sahabat




Nama Botani

Polygonum minus Huds

Nama lain

Phak phai (Thailand), Knotweed (Inggeris)

Famili

Polygonaceae

Pengenalan

Tanaman kesum (Polygonum minus) berasal dari kawasan Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia. Ia didapati tumbuh liar, terutama di kawasan lembap seperti di tepi parit atau dekat dengan sungai dan tasik. Ia juga didapati hidup dengan subur di kawasan sejuk di tanah tinggi seperti di Cameron Highlands dan Genting Highlands. Kesum merupakan tanaman herba yang renik, lampai, menjalar dan boleh tumbuh mencapai ketinggian 1.0 m di dataran rendah dan sehingga 1.5 m di tanah tinggi. Daunnya panjang dan runcing berbentuk anak panah, 5−7 cm panjang dan 0.5–2.0 cm lebar. Ia tersusun secara berselang pada batang, berwarna hijau tua dan sangat aromatik. Batangnya berbentuk silinder, berwarna hijau dengan sedikit kemerah-merahan, dan mempunyai buku dan ruas yang pendek yang mudah berakar. Bunganya pula terdapat di hujung pucuk, berbentuk kecil dan berwarna putih keungu-unguan. Pada amnya terdapat dua jenis kesum, iaitu yang lebih merayap/menjalar dan yang tumbuh agak menegak.

Khasiat dan Kegunaan

Tanaman kesum sangat popular di kalangan penduduk Malaysia sebagai bahan perencah/perisa di dalam banyak jenis makanan, terutama untuk laksa dan asam pedas. Ia juga boleh dimakan terus sebagai ulam ataupun dibuat kerabu. Secara tradisional air rebusan daun kesum digunakan untuk mengubati masalah penghadaman, menghilangkan kelemumur di kepala dan sebagai minuman selepas bersalin. Dari segi khasiat pemakanan, kesum kaya dengan beta karotena, vitamin A, vitamin C dan juga bahan galian seperti kalium, kalsium dan fosforus.

Daun kesum yang aromatik boleh menghasilkan minyak pati yang mengandungi bahan kimia `aliphatic aldehyde’ yang tinggi (60%), dan komponan kimia utamanya ialah decanal dan dodecanal. Sebagai punca bahan semula jadi ‘aliphatic aldehyde’, minyak kesum pula dipercayai mempunyai potensi yang tinggi, terutama dalam industri perisa dan wangian. Ini disebabkan tidak banyak terdapat bahan semula jadi ini di pasaran.