khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Saturday, 3 March 2012

pokok asam jawa





Pokok asam jawa adalah pokok saka yang mana pokok matang boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Pokok ini boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Pokok ini tahan dari serangan serangga perosak, tiupan angin kencang malahan tahan terendam dalam air berbanding dengan pokok lain. Batang utama pokoknya pendek tetapi mempunyai banyak cabang dan bentuk pokoknya adalah rimbun. Dahan dan cabang pokok mempunyai susunan yang terbuka luas. Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang dan jarang-jarang sekah atau patah. Kanopi pokok asam jawa juga berbentuk seperti kubah yang bulat melebar. Pokok ini tahan kemarau dan mudah hidup di mana-mana jenis tanah sama ada pada tanah yang subur atau tanah bermasalah. Di kawasan Majlis Perbandaran pokok ini ditanam kerana ianya sesuai dijadikan pokok teduhan dan amat menarik jika ditanam sebagai penghias di bahu jalan.


Pencirian pokok asam jawa dikenali dengan daunnya berwarna hijau terang, panjangnya 10-15 cm daripada jenis pinat dengan anak daun berbentuk bujur sebanyak 10-20 pasang. Daunnya sentiasa menghijau tetapi apabila cuaca terlalu panas daun-daun ini akan gugur. Daun ini bertangkup pada waktu malam dan merupakan satu keunikan tanaman asam jawa yang saya pernah lihat.

Bunga asam jawa adalah agak kecil yang lazimnya berwarna kuning air dan tumbuh di cabang bahagian hujung. Kelopak bunganya adalah berwarna merah jambu. Ia akan gugur apabila bunga mengembang.

Bunga akan mengeluarkan buah Asam Jawa atau lenggai yang panjang dimana ianya agak melengkung sedikit, permukaannya genting dan mengelembung beralun yang menunjukkan ada biji benih yang terkandung didalamnya. Warna lengai asam jawa adalah coklat karat dan apabila matang buah lenggai akan menjadi rapuh dan mudah terbuka. Apabila lenggai telah merekah ia akan menampakkan isinya (pulpa) berwarna coklat gelap. Terdapat biji berwarna coklat kehitam-hitaman yang agak keras dan berkilat. Hampir setengah daripada berat lenggai terdiri daripada pulpa yang rasanya masam. Pulpa ini mengandungi gula (30-40%) dan asid organik seperti asid sitrik, tartarik, asid asitik dan asid askorbik (Vitamin C). Pulpa ini juga merupakan sumber bahan makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral terutamanya kalsium. Walaupun mengandungi banyak gula tetapi bahagian pulpanya tetap masam juga.


sumber dari: ms.wikipedia.org