JERANTUT 10 Nov. - Asam gelugur atau asam keping sinonim dengan masyarakat di pedalaman daerah Jerantut dan Lipis khususnya menjadi perencah dalam masakan tradisional tempatan seperti gulai asam dan asam pedas.
Kebiasaannya, tanpa asam keping, ia bermakna masakan berkenaan mempunyai kekurangan dan tidak menimbulkan selera ketika menjamah hidangan berkenaan.
Buah asam gelugur dikatakan tanaman berasal dari India dan Thailand.
Itulah sebabnya penggunaannya dalam masakan penduduk negara itu sangat meluas.
Selain itu, buah berkenaan juga boleh diperoleh di seluruh kepulauan Asia Tenggara dan Afrika Tengah.
Bagi masyarakat di Hulu Tembeling dekat sini, asam gelugur memang mudah didapati kerana pokoknya tumbuh meliar di segenap ceruk kampung dan di tebing sungai.
Malah kini buah asam gelugur telah dikomersialkan dan boleh diperoleh di mana-mana premis perniagaan runcit termasuk pasar tani atau pasar sehari.
Menyingkap dari segi saintifik dan fungsinya, buah asam gelugur atau
Garcinta Cambogia berasal daripada keluarga
Guttiferae yang digunakan dengan meluas dalam masyarakat Melayu negara ini sebagai bahan perasa tambahan untuk menyedapkan lauk-pauk.
Buah yang juga dikenali sebagai
Malabar Tamarind bagi penduduk India, bukan sahaja menambah keenakan masakan tetapi juga menjadi produk komersial untuk mengurangkan berat badan di kalangan masyarakat Eropah.
Asam gelugur mengandungi sejenis asid utama
hydrocitrate yang dikaji oleh saintis pemakanan terbukti sangat berkesan untuk membantu mengekang nafsu makan dan menggalakkan penguraian lemak dalam tubuh manusia dan haiwan.
Minyak asam gelugur mempunyai tiga fungsi asas yang utama iaitu mengurangkan lemak atau kegemukan, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan selera makan.
Dari segi perubatan India kuno (Ayurveda), asam keping ini dipercayai boleh mengatasi masalah penghadaman, rawatan cacing, parasit, tumor dan cirit-birit berdarah.
Bagi penduduk Hulu Tembeling, buah ini sememangnya mempunyai khasiat dari segi perubatan tradisional dan kepelbagaian kegunaan.
Bagi penduduk Kampung Bantai dekat sini, Siti Rahijah Ahmad, 65, golongan tua mengamalkan kaedah perubatan tradisional berasaskan buah asam gelugur khususnya mengenai penyakit dalam perut dan bengkak di anggota badan.
"Namun, kita lebih gemar menjadikan asam keping atau gelugur ini sebagai perencah dalam masakan gulai asam dan asam pedas ikan Sungai Tembeling yang dijadikan hidangan sejak turun-temurun di sini," katanya kepada
Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu hari ini.
Dia berkata, permintaan yang begitu baik di pasaran menyebabkan asam gelugur kini boleh dikomersialkan untuk menambah pendapatan.
Katanya, pokok asam gelugur yang banyak tumbuh meliar di kawasan kampungnya menyebabkan penduduk tidak perlu bersusah payah ke pekan atau bandar untuk memperolehnya.
Sementara itu, Siti Abidah Mat Liki, 45, berkata, dia dan sepupunya, Siti Rahijah telah mengusahakan perniagaan asam gelugur secara kecil-kecilan sejak lima tahun lalu.
"Buah yang ranum banyak gugur ke tanah memudahkan kami mengambil selain mengait terus dari pokok yang tumbuh di hujung kampung.
"Buah asam gelugur ini kemudian dibasuh dan dihiris nipis-nipis untuk memudahkannya dijemur di bawah panas terik matahari selama beberapa hari," jelasnya.
Kata Siti Abidah, isi keping asam gelugur akan bertukar menjadi warna coklat dan kehitaman selepas dijemur sebelum boleh digunakan untuk campuran ke dalam masakan.
"Biasanya, kami jual asam keping ini dengan harga RM2 dalam ukuran kuantiti tin susu pekat dan memperoleh pendapatan antara RM60 hingga RM80 setelah habis dijual," katanya.
Siti Abidah menambah, kerja mengambil, membersih, menghiris dan menjemur asam gelugur kebiasaannya masih dilakukan di kalangan orang-orang tua manakala orang muda jarang melakukan kerja yang remeh itu.
sumber dari: utusan.com.my