Untuk tujuan komersial didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung. Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi). Amalan ini juga telah terbukti secara klinikal di beberapa negara seperti di India.
Buah asam jawa boleh dimakan segar dan ada dijual di pasar kebanyakannya di Utara seperti Kedah dan Perlis (bekalan dari Thailand). Asam jawa biasanya dijadikan jus minuman yang dicampur dengan air gula sebagai minuman segar terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia serta negara tropika lain. Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit oleh usahawan tempatan dalam pasaran domestik malahan ekspot. Syarikat ADABI menghasilkan puri asam jawa yang ‘sedia guna’ dan mendapat pasaran yang sangat luas di Malaysia. Kordial minuman asam jawa juga merupakan antara perisa yang popular di Malaysia. Selain itu asam jawa juga merupakan bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan atau makanan seperti kari, pelbagai jenis acar, pembuatan sos, bahan awet dan lain-lain lagi. Asam jawa sangat mudah didapati di pasaran dalam bentuk pulpa, berbiji atau tanpa biji yang dibungkus.
Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini. Ada pepatah Melayu yang berbunyi 'garam di laut, asam di darat; dalam periuk, bertemu jua'. Pepatah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam kehidupan harian masyarakat kita.
Di pantai timur Malaysia khususnya di Terengganu dan Kelantan, terdapat aktiviti industri asas tani dengan memproses asam jawa menjadi sejenis pencuci mulut. Caranya adalah dengan membuat asam jawa disalut dengan gula pasir, serbuk cili dan dibalut seperti gula-gula. Rasa masam, manis dan pedas ini sangat enak rasanya dan harganya juga sangat murah. Bagi Amerika Selatan, asam jawa diproses untuk dijadikan bebola manisan, minuman berkarbonat, sirap, jeli, jem, ais krim, bahan awet dan wain. Di Thailand pula, biji asam dikisar untuk dicampurkan ke dalam serbuk kopi.
Asam jawa juga digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan. Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak. Caranya adalah dengan mengambil sedikit garam dicampur ke dalam air asam dan kemudian ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi melegakan sakit sendi. Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah direbut boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh. Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan buasir. Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik. Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata. Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu. Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat bisul.
Terdapat laporan di Afrika Barat dimana air ekstrak dari buah lenggai asam jawa digunakan dalam pewarna untuk mewarnakan kulit kambing. Kulit buah atau pulpanya pula digunakan sebagai bahan pengikat bersama-sama kunyit dalam perusahaan membuat pewarna. Kulit buah yang dicampur air masin amat baik digunakan untuk mencuci dan mengilatkan barangan perak, tembaga dan loyang. Daun asam jawa boleh dijadikan makanan kepada ternakan lembu, kambing dan juga ulat sutera menggantikan daun mulberi. Daun dan bunga boleh dijadikan bahan cecair penting kepada bahan pewarna. Bunga asam jawa juga adalah sumber madu yang baik bagi lebah madu (Apis spp.) dimana madu tersebut berwarna kuning keemas-emasan dan sangat manis.
Kegunaan batang atau kayu pokok asam jawa dilaporkan dari jenis kayu keras, berat, kuat, tahan lama dan rintang terhadap serangan perosak. Kayunya digunakan untuk membuat perabot rumah, panel dinding, roda, gear untuk kilang, pembajak, dinding sampan, pemegang pisau dan alat-alat lain, anak lesung penumbuk beras dan lain-lain lagi. Selain itu, kayu ia juga boleh digunakan sebagai bahan bakar yang sangat tahan lama dan menghasilkan haba untuk masakan dan juga industri.
Kajian menunjukkan yang abu kayu yang asam jawa yang terbakar boleh digunakan bagi merawat dan menanggalkan bulu daripada kulit kambing. Sementara itu dahan, cabang atau akar pokok boleh digayakan untuk dijadikan tongkat (untuk mereka yang melebihi 40 tahun) atau dijadikan bahan hiasan.
sumber dari: ms.wikipedia.org