Biji popi dari sepesies papaver somniferum berasal dari Timur Tengah dan kini banyak tumbuh di China, Indo-China, India dan Afghanistan. Somniferum bermakna ‘pencetus tidur’ dan kesan narkotik ini menggalakkan penanamannya. Lebih dikenali sebagai biji kas kas oleh masayarkat Malaysia, ia banyak digunakan untuk tujuan masakan.
Biji popi dari timur menghasilkan lebih candu. Manakala dari barat menghasilkan kurang candu dan getah yang menghasilkan dadah ini hilang apabila bunganya berkembang. Biji popi biru dianggap sebagai biji popi Eropah kerana jenis ini sering dilihat pada roti, bagel dan konfleksi di Barat.
Biji popi putih pula dirujuk kepada India, Timur Tengah atau Asia disebabkan ia banyak digunakan dalam masakan di negara-negara tersebut. Namun begitu, sebenarnya tidak banyak perbezaan dari segi antara kedua jenis ini, jadi penggunaannya lebih kepada estetika atau bila ia boleh diperolehi.
Untuk mengenali biji popi memang tidak sukar. Bijinya amat kecil dan keras, sama seperti bijian. Tidak kiralah ia dari jenis barat atau timur, keduanya mempunyai rasa dan tekstur yang hampir sama. Bijinya akan matang dalam kapsulnya selepas bunganya beransur hilang. Bijinya boleh diperolehi dengan mudah dalam bentuk kering.
Biji popi amat keras untuk dihancurkan. Jika anda tidak mempunyai pengisar khas untuk biji popi, apa yang boleh anda lakukan adalah memanggang bijinya terlebih dahulu dan kemudian gunakan lesung batu untuk menghancurkannya.
Biji popi boleh digunakan sama ada salam bentuk asal atau hancur dalam masakan dan bakeri. Apabila digunakan dalam masakan yang tidak dimasak seperti salad, bakarlah bijinya terlebih dahulu kerana cara ini mampu menaikkan rasa dan aromanya. Apabila biji popi digunakan untuk pastri, rendamlah ia dalam air mendidih dan biarkan ia selama satu hingga tiga jam sebelum dikisar.