Pokok buah tin spesies ara yang hidup subur di negara Asia Barat kini juga mampu hidup subur dan berbuah di Baling.
Di Kampung Lahar, Mukim Bongor di sini, sebatang pokok buah tin kini mengeluarkan buah yang lebat sempena bulan Ramadan.
Pemiliknya, Ramli Shaffie, 70, memberitahu, pokok berusia lebih 18 tahun itu kini berbuah dan ia menjadi tumpuan penduduk Baling mendapatkannya sebagai juadah berbuka puasa.
"Sejak mula berpuasa, buah tin yang sudah masak dari pokok ini menjadi tumpuan kerana menjadi juadah berbuka oleh orang yang tahu dan gemar memakannya," katanya.
Katanya, benih asal pokok itu dibawa dari negara Jordan oleh keluarganya yang menuntut di negara itu.
"Pokok buah tin mengeluarkan buah sepanjang musim dan bila masak berwarna kemerah-merahan dengan isinya manis dan lembut serta beraroma yang menyelerakan," katanya.
Kebiasaannya, jika ada kenduri kecil, penduduk kampung akan mengambil buah tin yang muda untuk dimasak gulai bersama daging lembu atau ayam.
sumber dari: utusan.com.my