khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Friday, 28 June 2013

menghasilkan dakwat






DAKWAT daripada kulit buah delima dan buah manjakani? Mungkin agak pelik didengar tetapi itulah bahan mentah utama yang digunakan untuk menghasilkan dakwat pada zaman dahulu. Dakwat unik ini digunakan untuk menulis seni khat.

Bukan hanya kulit buah delima dan buah manjakani boleh dijadikan dakwat, malah beras, bunga lawang dan cengkih turut mampu dijadikan dakwat.

Walaupun hanya terhad kepada warna-warna tertentu sahaja, tetapi dakwat tradisional ini mampu divariasikan warnanya dengan menggunakan bahan semula jadi lain, contohnya daun pandan untuk mendapatkan warna hijau.

Selain itu, penggunaan halia, kunyit dan kulit kayu manis untuk dijadikan dakwat juga mampu mengeluarkan bau wangi pada dakwat.

Menurut Pereka Kaligrafi Institut Al-Quran Terengganu (IAT), Mohd. Shafiq Mohamad, 22, dakwat tradisional ini amat mesra alam dan hasil dakwat berwarna hitam lebih hitam daripada dakwat yang ada di pasaran sekarang.

Katanya, kesukaran untuk mengadun dan memproses bahan mentah tersebut menyebabkannya tidak digunakan pada zaman ini.

"Faktor pelbagai jenis dakwat yang ada di pasaran sekarang lebih mudah didapati menjadikan dakwat tradisional tidak relevan untuk digunakan dalam menulis khat," katanya.

Beliau ketika ditemui KOSMO! di kiosnya sempena Pameran Keunggulan Jawi di Muzium Negeri Terengganu yang berlangsung selama dua bulan bermula 18 Mac lalu menambah:
"Jika ia diadun dengan cara yang betul, ia boleh menjadi dakwat berkualiti setaraf dengan dakwat yang dihasilkan di luar negara".

Katanya, pelajar di IAT juga diberikan pendedahan dalam mempelajari cara-cara membuat dakwat daripada bahan-bahan tersebut.

"Dakwat tradisional untuk menulis seni khat ini kebiasaannya disimpan di dalam bekas khas dengan dimasukkan benang sutera kasar atau span ke dalamnya.

"Ia bertujuan untuk mengelakkan mata pen daripada cepat rosak dan juga mengelak dakwat tersebut melekat terlalu banyak ketika menulis," katanya.

Tambah Mohd. Shafiq, cara pembuatan dakwat yang dihasilkan daripada kulit buah delima adalah dengan membakar kulit buah delima masam sehingga menjadi arang.

Ia kemudiannya dicampur dengan susu cair dan gam Arab cair yang boleh didapati di mana-mana kedai.
"Seterusnya, ia dijadikan beberapa ketulan kecil dan dikeringkan di tempat teduh sebelum boleh digunakan.
"Gam Arab adalah ramuan wajib digunakan dalam proses membuat dakwat tradisional ini yang bertujuan untuk menjadikan dakwat tersebut melekat pada permukaan yang hendak ditulis," katanya.




Katanya, bagi menghasilkan dakwat berwarna merah, jenis buah yang boleh digunakan ialah buah manjakani atau buah keras.

Buah berkenaan, katanya, perlu ditumbuk atau dikisar sebelum dicampurkan dengan air mawar.
"Kemudian adunan ini dijemur di bawah panas matahari selama 40 hari sebelum dimasak dengan api yang kecil sehingga mengeluarkan cecair berwarna merah.

"Ia kemudian ditapis sebelum dicampur dengan gam Arab dan ditapis buat kali kedua sebelum boleh digunakan," katanya.

Beras yang dijadikan nasi dan merupakan makanan ruji penduduk Asia juga mampu menghasilkan dakwat berwarna coklat tua jika diadun dengan cara yang betul.
Katanya, beras perlu dikeringkan dan digoreng sehingga bertukar warna hitam sebelum ditambah dengan air dan gam Arab.

"Jangan tidak tahu pula, jelaga juga mampu dijadikan dakwat apabila dicampurkan dengan air, garam, gam Arab, buah keras, sulfat besi dan sedikit madu.
"Kesemua bahan tersebut kecuali jelaga, perlu dimasukkan ke dalam periuk di atas api kecil dan dikacau sehingga dua jam," katanya.

Tambah beliau, bahan-bahan berkenaan kemudian ditapis dengan kain jarang dan sebelum ditambah dengan jelaga itu, ia perlu dimasak selama setengah jam.
Katanya, apabila sudah masak, ia sekali lagi perlu ditapis dan dimasukkan ke dalam botol sebelum digunakan untuk menulis seni khat.

"Namun, faktor kepayahan pembuatannya menyebabkan penggemar seni khat tidak lagi menggunakan dakwat tradisional dalam menghasilkan karya masing-masing.
"Selain tidak mampu bertahan lama di permukaan yang ditulis, ia juga perlu dibuat dengan cara yang betul dengan berpandukan kepada sukatan yang diberikan," katanya.
Kini, katanya, penciptaan dakwat pelbagai jenama di pasaran dengan pelbagai kualiti tidak memungkinkan penulis seni khat menggunakan dakwat tradisional ini lagi.

"Bagaimanapun, selepas mengetahui kulit buah delima boleh dijadikan dakwat yang lebih bermutu tinggi, mungkin ramai penggemar buah delima akan berfikir dua kali sebelum mencampakkan kulit buah berkenaan seperti yang dilakukan sebelum ini," katanya.


sumber dari: kosmo.com.my