khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Sunday 26 August 2012

zaitun -pandangan sains pemakanan






Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai “monounansaturated” yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang.

Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid’ yang terdapat didalamnya.Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative’ dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol’. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.


Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.


sumber dari: hafizamri.com