MENURUT Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air.(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan.
Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.”(Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).
Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma
itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari
berpuasa.
Kajian sains terkini turut memperakui kelebihan
buah kurma yang mengandungi kebanyakan nutrien penting yang diperlukan badan.
Sesetengah pihak turut mendakwa buah kurma mampu mencegah dan merawat beberapa
jenis penyakit.
Pada asasnya, kurma mengandungi gula yang mudah
diserap badan, memberikan tenaga segera dan berpanjangan untuk menjalankan
aktiviti harian atau sembahyang tarawih pada malam hari sepanjang Ramadan.
Kandungan serat yang tinggi di dalamnya pula melambatkan rasa lapar ketika
berpuasa, dan mempercepatkan rasa kenyang ketika berbuka supaya kita tidak makan
secara berlebihan. Kelebihan ini menjadikannya buah yang amat sesuai dimakan
ketika bersahur atau berpuasa.
Kajian saintifik seluruh dunia mendapati kurma
bukan sahaja mengandungi jumlah karbohidrat (gula) yang tinggi malahan turut
mengandungi pelbagai vitamin penting seperti vitamin A, tiamin, riboflavin,
niasin, zat besi, vitamin B, asam nikotinat (yang baik untuk usus) dan
bermacam-macam lagi. Kurma juga didapati mengandungi banyak garam galian lain
seperti magnesium, potasium dan kalsium. Buah ini turut mengandungi kalium yang
khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.
Setiap 100 gram kurma kering mengandungi 50 IU
vitamin A, 0.09 miligram (mg) tiamin, 0.10 mg riboflavin, 2.20 mg niasin, serta
666 mg kalium. Kesemua nutrien penting ini berfungsi membantu membebaskan tenaga
yang cukup, menjaga kesihatan kulit dan saraf serta membantu fungsi jantung.
Diet yang ditambah buah kurma dikatakan dapat membakar kalori berlebihan badan
dengan setiap biji kurma mampu mengurangkan sebanyak 3,470 kalori.
Mencegah
Kurma dan produk berasaskan kurma sering
dikaitkan dengan pencegahan, malahan rawatan sesetengah penyakit kronik badan.
Ini berikutan jenis dan jumlah nutrien di dalam setiap buah kurma memainkan
peranan di dalam membantu fungsi badan berjalan lancar.
Sebagai contoh, serat di dalam kurma bukan sahaja
melambatkan rasa lapar dan mempercepatkan rasa kenyang. Kandungan serat yang
tinggi turut membantu melancar dan mengaktifkan fungsi usus, seterusnya membantu
proses perkumuhan dan penyingkiran toksin dari badan.
Kurma juga dikaitkan dengan peranan membantu
meningkatkan fungsi sistem badan, sekaligus mencegah penyakit melalui:
Pengurangan tekanan darah tinggi, seterusnya mengurangkan risiko angin ahmar dan
risiko sakit jantung.
Kalium
di dalam kurma dapat membantu membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan
pengecutan otot-otot dan mengatur tekanan darah.
Kandungan kalium yang tinggi juga mampu merendahkan risiko serangan angin
ahmar.
Mengelakkan sembelit, radang usus, anemia dan sebagainya.
Mencegah pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis di samping menyihatkan
sel darah merah.
Mencegah lemah otot, lesu, barah usus besar dan sengal-sengal badan.
Melihatkan kandungan nutrien dalam setiap biji
buah kurma dan khasiatnya untuk kesihatan, diet yang ditambah buah kurma amat
disarankan, bukan hanya pada bulan Ramadan, malahan bila-bila masa sahaja.
Kelebihan buah ini juga bukan hanya untuk dinikmati umat Islam tetapi semua
bangsa di Malaysia, tidak mengira agama atau usia patut mencubanya.
Beberapa pihak juga dilihat telah mula mengambil
langkah mempelbagaikan cara hidangan kurma sama ada dalam masakan atau sebagai
jus buah. Ini diharapkan dapat meningkatkan diet buah kurma di negara ini supaya
khasiat dan kelebihannya dapat dinikmati ramai dan bukan hanya dinikmati pada
masa tertentu sahaja. Kurma banyak kelebihannya dan bukan hanya untuk Ramadan
semata-mata.
sumber dari: ibnu-qayyim.blogspot.com