khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Saturday 1 June 2013

FRIM ada membangunkan produk yang mengandungi Kesum dan limau purut





Semasa sidang akhbar
Yasmin (kiri) dan Nor Azah (kanan) semasa sidang akhbar.


24 Mei 2012 (Khamis) – Pos Malaysia telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk melancarkan koleksi baru setem dan barangan Filateli bertemakan tumbuhan beraroma  iaitu Limau Purut, Kesum dan Pudina yang akan dijual kepada orang ramai mulai hari ini.

Bercakap pada sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Kuala Lumpur pada 22 Mei 2012, Yasmin Ramly yang merupakan Ketua Setem dan Filateli Pos Malaysia berkata koleksi menampilkan tiga tumbuhan beraroma ini dalam bentuk setem RM5  pada lembaran mini (limau purut), setem RM 1 (Pudina) dan 60 sen (Kesum).

Beliau berkata lembaran mini yang dicetak di negara Belanda yang memaparkan imej Limau Purut ini adalah yang pertama seumpamanya yang mengeluarkan wangian segar pati limau purut apabila permukaannya digosok.


Gambar petugas
Gambar petugas yang menjayakan acara di tempat pameran produk selepas selesai majlis pelancaran.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan FRIM dan kami berharap pengeluaran setem dan produk Filateli ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan umum tentang keistimewaan tumbuhan dan alam semulajadi di negara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Dato’ Khalid Abdol Rahman.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Pengurusan Korporat FRIM Puan Norhayati Nordin, Pegawai Perhubungan Awam, Puan Azmarizawati Zainal Azhar, Ketua Program Pembangunan Produk Herba, Dr Ali Mohamad Nor Azah dan Pegawai Penyelidik, Puan Mailina Jamil.

FRIM juga mempamerkan dua produk yang telah dibangunkan melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunanyan (R & D), iaitu FORESTRA™ Whitening Hand & Body Lotion dan Aromatherapy Bodywash (yang  dibuat dari ekstrak Limau Purut) serta Digesto Digestive Drink (yang dibuat dari ekstrak Kesum) di majlis tersebut.

Ketua Pengarah FRIM Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata permintaan produk berasaskan herba semakin meningkat dan  selaras dengan itu terdapat peningkatan kebimbangan di kalangan pengguna mengenai isu-isu keselamatan dan kualiti bahan mentah dan produk.

“Dalam hal ini, FRIM ada  membangunkan produk yang mengandungi phytoextract Poligonum minus (Kesum) dan Citrus hystrix (limau purut) di mana produknya telah ada di pasaran dan dijamin Selamat. Kerjasama dengan Pos Malaysia in diharap akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang  nilai komersial serta perubatan tumbuhan herba tersebut, bukan hanya sebagai bahan penambah rasa dalam masakan, ” tambah beliau.


FRIM adalah sebuah pusat konservasi ex-situ tumbuhan ubatan dan aromatik yang mempunyai  lebih daripada 200 spesies ditanam di Taman Ethnobotani di kampusnya di Kepong dan juga di Stesen Penyelidikannya di Maran, Pahang.


sumber dari: frim.gov.my