khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Saturday 3 March 2012

asam jawa -wikipedia





Asam jawa atau celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan harian di Malaysia.

Rekod dan sejarah menunjukkan yang ibu negeri Senegal diberi nama ‘Dakar’ dalam bahasa tempatan yang bermaksud “pokok asam jawa”. Pokok asam jawa adalah tumbuhan semula jadi di benua Afrika. Kini asam jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada di Malaysia. Ia juga boleh menjadi pokok hiasan selain ditanam sebagai pokok tanaman. Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia melalui pedagang-pedagang Arab yang datang singgah ke asia tenggara. India ialah negara yang mempunyai tanaman dan ladang asam jawa yang paling luas di dunia. Didapati sebanyak 250,000 metrik tan asam jawa dihasilkan setiap tahun seluruh dunia dimana 65% dihasilkan di India. Asam Jawa digunakan untuk pelbagai kegunaan dimana sebanyak 3,000 metrik tan daripadanya dieksport ke Eropah dan Amerika Utara. Pokok asam jawa mempunyai pelbagai gelaran dan nama tempatan.

Nama lain bagi asam jawa adalah Asam, Asam Jawa, Asam Kemal, Asam Kuning (Melayu); Indian date, Sweet Tamarind, Tamarind (English); Anbli, Ambli, Chinh, Imalii, Tamarulhindi (India), Da Ma Lin; Loa Wang Zi (China), Bakham Somkham (Thailand), Me chua (Vietnam); Sempodok (Filipina), Tamarindo (Jepun); dan Khaam, Kok mak Kham (Laos).

Asam jawa mempunyai kelongsong yang mengandungi beberapa biji asam jawa didalamnya. Kelonsongnya yang keras akan dipecahkan dan isinya akan diasingkan dari biji benih yang terdapat didalamnya.

Asam jawa merupakan sejenis ramuan masakan yang terkenal dikalangan masyarakat Melayu. Biasanya asam jawa akan dilarutkan ke dalam air dan hanya airnya digunakan dalam masakan. Hampasnya pada kebiasaannya dibuang. Selain digunakan dalam masakan, asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun dengan ditambah dengan gula. Selain itu asam jawa juga digunakan secara tradisional bagi mengubat batuk dan perit tekak.

Pokok asam jawa sebenarnya merupakan tumbuhan anugerah Tuhan yang mempunyai pelbagai guna. Walau pun buah asam jawa merupakan komponen utama dalam masakan seharian tetapi khasiat lain tidak boleh di ketepikan. Banyak kajian boleh dijalankan bagi mengoptimakan penggunaan tumbuhan asam jawa. Malaysia mengimpot 60-80% asam jawa dari negara jiran (terutama dari India) kerana pengeluaran tempatan sangat kurang. Kempen dan usaha untuk menanam pokok asam jawa boleh dijalankan terutama di kawasan tanah terbiar dan juga di kawasan tanah-tanah bermasalah seperti di kawasan tanah Bris, tanah gambut, tanah bekas lombong dan juga tanah asid sulfat.


sumber dari: ms.wikipedia.org