khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Sunday 30 October 2011

asal dan pembiakan lengkuas

 Lengkuas merupakan sejenis rizom dengan kegunaan masakan dan perubatan, dan banyak digunakan di Asia Tenggara. Rupanya hampir sama dengan halia. Lengkuas merupakan tanaman tempatan di Asia Tenggara. Nama saintifiknya Alpinia galanga daripada famili Zingiberaceae. Pokok lengkuas tidak asing bagi masyarakat dan sering ditanam di belakang rumah dalam konsep parak (home garden). Rumpun dan bunganya yang menarik kini mula ditanam sebagai tanaman hiasan di sekitar taman persendirian.

 Pokok lengkuas berasal dari India dan tersebar hingga Tenggara Asia. Herba ini hidup berumpun dan berizom setinggi dua meter. Pada satu rumpun ada beberapa batang-semu yang tumbuh tegak daripada rizomnya di dalam tanah. Daunnya tumbuh secara distik di kiri kanan batang-semu. Daun ini berbentuk lanseolat atau bujur runcing, berukuran 20 hingga 50 sentimeter (sm) panjang dan 5 hingga 9 sm lebar, berwarna hijau muda. Infloresen terminal, berjambak-jambak dengan bunganya yang banyak dan berwarna putih kehijauan. Buah berbentuk globos, mengandungi biji yang kecil. Rizom berjari-jari, 3 hingga 6 sm diameter, berserat, berwarna merah keperangan dan isinya putih kekuningan. Semua bahagian herba ini terutama rizomnya beraroma.


 


 Herba ini membiak dengan cara belahan rumpun. Rumpun berizom ini ditanam terus ke tanah. Tanah yang sesuai ialah tanah yang lembap sedikit tetapi bersaliran baik. Herba ini tidak memerlukan jagaan yang rapi. Pekebun hanya perlu membersihkan pangkalnya dan membuang batang yang kering.