khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Friday, 23 December 2011

kantan sahabat di shah alam













kantan herba semusim





Herba hidup semusim. Pokok herba monokot yang berasal dari Malaysia ini ditanam di sekitar rumah untuk jambak bunganya dengan menggunakan rizomnya untuk pembiakan.
Daun yang agak panjang dan juga rizom di dalam tanah manakala jambak bunganya besar dan mempunyai involuker braktea berwarna steril. Jambak bunganya juga mempunyai tangkai yang panjang dan terkeluar dari pangkal tunas daun menyebabkan ia kelihatan cantik dan unik.
Selalunya jambak bunga kantan yang masih muda dan belum mengembang merupakan perencah utama untuk membuat kuah laksa utara. Laksa dan kantan sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Bagi suku kaum Mandailing, bunga kantan menjadi ramuan terpenting untuk masakan pucuk ubi tumbuk yang digoreng bersama serai racik, ikan bilis dan terung rembang.
Ramuan untuk lauk asam pedas dan tomyam. Bau bunga kantan yang harum dan unik menjadikan masakan lebih menyelerakan. Selain bunga kantan, buahnya juga boleh digunakan sebagai perasa makanan, malah di sesetengah tempat buah kantan yang telah ranum juga dimakan begitu saja.
Kantan juga berkhasiat untuk mengubati sakit telinga dan membersihkan luka.






Sakit telinga boleh dirawat dengan menggunakan air rebusan buah kantan.
Selepas merebus buah kantan selama beberapa minit, air rebusan perlu dititikkan ke dalam telinga.
Jika diamalkan selalu, ia bukan saja melegakan kesakitan akibat bengkak malah boleh mengatasi masalah telinga berair. Bagi mencuci luka di badan, air rebusan daun kantan yang masih suam digunakan dengan melumurkannya ke seluruh bahagian luka.

kantan tanaman ulaman










Kantan merupakan sejenis tanaman ulaman tradisional orang Melayu dan ia tumbuh meliar di kawasan tanah yang agak lembab. Kantan sesuai ditanam di berbagai-bagai jenis tanah tetapi elakkan menanam pokok ini di kawasan yang menakung air. Pokok kantan ialah pokok herba yang tumbuh membiak dan merimbun secara berkelompok-kelompok. Pokok yang matang boleh mencapai ketinggian 4 - 6 meter. Bahagian utama pokok kantan yang digunakan sebagai ulaman dan perasa di dalam masakan adalah bunganya. Pokok kantan boleh ditanam dengan menggunakan rizom atau biji benih. Penanaman menggunakan rizom adalah lebih popular, kerana ia boleh mengeluarkan hasil dengan lebih cepat berbanding dengan penggunaan biji benih.
Bunga kantan adalah antara bahan utama dalam penyediaan kuah laksa asam, masak asam pedas dan sebagai ulam nasi kerabu. Bunga kantan yang dicelur boleh sebagai ulaman. Batang pokok kantan boleh digunakan untuk mengubati penyakit bengkak-bengkak. Buah kantan yang rasanya masam manis boleh dimakan untuk menambah selera makan.Rizom muda digunakan sebagai perisa dalam masakan laksa utara. Biji buah kantan boleh mengubati sakit telinga.

bunga kantan -awet muda





Bunga kantan biasanya digunakan untuk masakan terutamanya asam pedas dan laksa. Adakah anda tahu bahawa dengan memakan bunga kantan juga boleh membuat kita awet muda. Jadi sesiapa yang ingin kelihatan muda selalu bolehlah mengamalkan makan bunga kantan ni. Pokoknya pula boleh menghilangkan bau badan. Ia bagus untuk diamalkan oleh wanita lepas bersalin. Caranya adalah, ambil beberapa batang pokok kantan segar, potong batangnya pendek-pendek dan ditumbuk hingga lumat. Rebus hingga mendidih dan biarkannya sejuk. Air rebusan tersebut bolehlah digunakan untuk mandi. Insyaallah ia akan dapat menghilangkan bau badan yang kurang enak.

Sunday, 18 December 2011

kantan keluarga halia

 


 
Nama Saintifik: Phaeomoria speciosa
Nama Inggeris: Ginger bud


Bunga kantan adalah dari keluarga halia, dan mengeluarkan pucuk hijau dari rizom besar seperti halia. Di pangkal tumbuhan ini, pucuk-pucuk kecil dihasilkan yang pada mulanya kelihatan seperti daun biasa tetapi lama-kelamaan berubah bewarna merah jambu di bahagian hujungnya. Pucuk-pucuk ini yang hanya tumbuh sepanjang satu kaki, perlahan-lahan mendedahkan kelopak berwarna merah jambu yang berisi dan tebal yang seakan-akan sekuntum bunga.

Bunga kantan mempunyai rasa segar dan pedas. Ia mempunyai rupa yang menarik hingga menimbulkan rasa sayang untuk dimakan, tetapi rasanya yang unik menjadikan ia bahan perasa yang penting dalam sesetengah masakan. Warna merah jambunya kekal walaupun dimasak. Ia menambahkan warna yang menarik ke dalam masakan.

Sesetengah laksa menggunakan bunga kantan ini yang dicincang halus dalam resipinya manakala ada yang menggunakan daun laksa. Walau bagaimanapun, ia merupakan bahan penting di dalam masakan Laksa Penang yang mempunyai ikan dan rasa masam.