khazanah alam

dianugerahkan untuk kita menikmatinya....perlu dipelajari, diperbaiki dan dipelihara untuk diturunkan buat generasi seterusnya......tentunya kita tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang sebagaimana kita cuba menunding jari ke generasi sebelum ini......fikirkanlah.....

Wednesday 20 June 2012

kurma di sudut Qhazanah



Qhazanah Kurma


Sebelum kewujudan buah kurma Nabi, buah kurma juga merupakan titik tolak dalam memelihara kesihatan di dunia perubatan Islam. Antara rakaman sejarah mengenai peristiwa yang menyaksikan buah kurma sebagai aset penting umat islam dijelaskan di dalam Al Quran melalui surah Maryam.
Tanyalah mana-mana ibu yang melahirkan anak akan rasa sakitnya, peritnya, jiwa yang berdebar-debar dengan penuh pengharapan agar selamat melahirkan anak dalam kandungan umpama nyawa bergantung kepada sehelai rambut.

Bersalin, Suatu Pengalaman Mendebarkan

– Dan pengalaman bunda kepada Nabi Isa ‘Alaihissalam yakni Saidatina Maryam ‘Alaihissalam merupakan suatu pengalaman yang mencemaskan dalam sejarah kelahiran. Beliau yang difitnah penduduk sekelilingnya akan kandungannya yang merupakan kurniaan daripada Allah apabila hamil tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki.

Fikirkan sejenak, beliau yang cuba dianiaya penduduk sekeliling, membawa diri dalam tergesa-gesa sedang sarat hamil di tengah-tengah padang pasir yang terik dan kering. Di saat-saat waktu kelahiran semakin hampir, beliau semakin tidak terdaya. Sekian itu, maka turunlah wahyu Allah kepada Saidatina Maryam yang dirakam sejarah ini di dalam Al Quran;
Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya; “Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai”.        (Surah Maryam : Ayat 24)
“Dan gegarlah ke arahmu pangkal pohon kurma itu, supaya gugur kepadamu buah masak. Maka makan dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan”.                                                                                                                               (Surah Maryam : Ayat 25)
(Ketika ia hendak bersalin) maka kesakitan memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal pohon kurma. (Surah Maryam : Ayat 23)
Dalam keadaan yang sekian lama membawa diri di tengah-tengah padang pasir, bersama perasaan yang kerisauan akan kandungannya juga dari gangguan serta fitnah penduduk sekelilingnya, melahirkan anak tanpa bantuan sesiapa yang lain, tambahan pula tenaga yang banyak telah dikerahkan serta kehilangan darah yang banyak semasa melahirkan dalam keadaan seorang diri, turunlah perintah Allah kepadanya agar selamat melahirkan tanpa perlu bimbang akan apa-apa pun dengan memakan buah kurma.

Buah Kurma Hadiah Terbaik Buat HambaNYA

Ternyata hadiah ini adalah antara yang istimewa diukir dalam sejarah. Buah kurma terbukti membantu mengembalikan tenaga yang hambar, kehilangan darah yang banyak, membina kekuatan otot intim dan keseluruhan, membina minda yang cerdas serta penemuan terkini sains mengenai kurma iaitu;

Membina Ketenangan Emosi / Perasaan

Kajian sains membuktikan bahawa kandungan bahan di dalam kurma mampu membina ketenangan emosi atau ketenangan perasaan. Ini memberi panduan kepada umat Islam akan ayat di dalam petikan surah Maryam yakni;
“..serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan”. (Surah Maryam : Ayat 25)
Maka amatlah rugi umat Islam sekadar mengamalkannya di bulan Ramadhan semata-mata di musim bulan puasa sahaja.

Makanan Hamba Allah Yang Beriman

Memakan kurma juga memenuhi tuntutan sunnah baginda yang sewajarnya kita contohi. Maka dengan itu kita menghampiri amalan-amalan rutin Nabi. Mengamalkan memakan kurma juga mendapat pahala orang yang beriman sepertimana sabda baginda;
“Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman adalah buah kurma”. (Riwayat Abu Daud)
Kurma : Makanan Yang Barakah

Allah melimpahkan barakah kepada buah kurma sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam;
Daripada Salman Ibn ‘Aamir, Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Jika salah seorang di antara kamu ingin berbuka puasa, maka berbukalah dengan kurma, sebab kurma itu barakah, jika tiada maka dengan air kerana air itu bersih dan suci”. (Riwayat Abu Daud dan At Tirmidzi)
Makanan Barakah Untuk Anak

Amalan membelah mulut atau bertahnik juga diambil daripada sunnah baginda ;
Daripada Abu Musa Radiallahu Anhu katanya: “Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, seraya baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma (sambungan dalam penjelasan Imam Al Bukhari) ..maka baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mendoakan kebaikan dan keberkatan baginya lalu menyerahkan kembali kepadaku”. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Ternyata kurma terus mendapat perhatian pakar kesihatan seluruh dunia samada dalam keperluan diet atau mengatasi penyakit-penyakit yang tidak dapat diatasi dengan ubat-ubatan moden




sumber dari: qhazanah.wordpress.com